Doa Buat Sahabat
Ibu, rasanya
semua dah siap kemas, InsyaAllah, bolehlah kita berangkat sekarang. Ayah pun
dah tunggu dalam kereta tu”. Beritahu Rafiq pada orang tuanya.Ayat-ayat
Al-Quran dan Hadis yang dilekatkan di sudut bacaan, ditinggalkan sahaja, agar
dapat memberi manfaat kepada penghuni yang baru.
Semoga ianya
mampu membuka hati sesiapa sahaja yang membacanya, agar tidak pernah jemu dalam
usaha untuk menyebarkan dakwah dan islah sesama manusia. Tidak kira non-muslim
atau muslim. Semoga bermanfaat. Itulah niat dan keikhlasan hatinya.
Dia teringat
pesan Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda, “Jika Allah SWT memberi hidayah
kepada seseorang lantaran kamu, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang
disinari matahari.” (hadis riwayat Tabrani)
Ayah tersenyum.
Manis senyumannya. Dia memperlahankan kereta lalu membelok ke kiri menuju ke
surau Al-Falah.
Raqib merenung
sudut kiri di hadapan surau tersebut. Butir-butir kristal mula memenuhi kelopak
matanya. Namun, ditahan juga, bak empangan yang menakung tadahan. Fikirannya
mula terbang melewati episod-episod perjuangan bersama sahabat-sahabatnya. Di
situlah tempat Raqib menjalinkan ukhwah bersama-sama sahabatnya. Banyak masanya
dihabiskan di situ.
Semuanya terjalin
kerana Allah. Daripada usrah, halaqoh, tazkirah, sehinggalah Majlis Ilmu, dan
pelbagai lagi proses tarbiah dilakukan. Berat sekali hatinya untuk meninggalkan
surau tersebut. Semuanya syabab yang dahagakan ilmu, yang sering
meniti dibibir-bibir mereka dengan kalimah memuji kebesaran Rab.
Terlintas
kata-kata gurunya sewaktu pengajian dulu.
“Hanyasanya yang
layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan
menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya
sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan
yang mendapat petunjuk.”(At-Taubah 9:18)
Sering sahaja
mereka mengingatkan antara satu sama lain, tentang kelebihan solat berjemaah.
Tidak dilupakan juga untuk mengejut sahabat-sahabat ke surau, terutamanya waktu
Subuh. Zikir-zikir mengingati Allah juga tidak ketinggalan untuk mereka
lafazkan sesama mereka. Solat dhuha, Solat tahajud. Semuanya dilakukan
semata-mata mencari keredhaan Allah, serta bimbingan sahabat-sahabat yang
sentiasa memperingat antara satu sama lain. Penghayatan akidah juga ditekankan,
agar hubungan mantap dengan Rab. Namun, segalanya hanya tinggal memori.
“Ya Allah,
berilah kekuatan kepada sahabat-sahabatku, agar mereka sentiasa mampu
mengingatiMu. Mungkin sahaja di sini, terdapat rakan-rakan yang mampu
mengingatkan kami, satu sama lain. Namun, aku sedar, dugaan diluar lebih besar
cabarannya. Teguhkan iman kami, supaya sentiasa berada dalam rahmat-Mu.”
Bisiknya di dalamm hati.
Rafiq merenung
jauh. Pandangannya melintasi perjuangan Rasulullah SAW, para sahabat dan
syuhada di dalam mengembangkan syiar Islam. Janggutnya mula dibasahi air mata
yang bercucuran.Raqib begitu risau akan sahabat-sahabat seperjuangannya.
Mampukah mereka istiqamah dalam perjuangan mereka, ketika mereka berada di
dunia yang nyata, yang sudah semestinya penuh dengan pancaroba?
“Semuanya dah
berubah, dahulu makmum aku hanya sahabat-sahabat sebayaku, tetapi, sekarang…”
Dia bermonolog.
Raqib mengerutkan
dahinya. Istighfar membasahi bibirnya. Dia tetap ikhlas menjalankan
tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.Tidak dinafikan, di mana-mana sahaja
surau, pasti hanya akan dipenuhi oleh orang-orang tua sahaja. Adakah surau
hanya menjadi tempat-tempat bagi hambaNya yang sudah berusia sahaja?
Segala bisikan
syaitan tidak diendahkan. Raqib sentiasa perlu bermujahadah. Mungkin sahaja dia
menjadi orang asing di dalam rumah Allah itu, kerana hanya dia sahaja anak muda
didalamnya.
Sama juga
keadaannya ketika waktu Subuh. Mampukah sahabat-sahabatku bermujahadah untuk
berjemaah di surau? Mampukah mereka bangun tatkala manusia lain sedang enak
dibuai mimpi, semata-mata untuk melakukan tahajud seperti dahulu? Mampukah
mereka meluangkan sedikit sahaja masa untuk melakukan solat Dhuha, seperti juga
di kolej dahulu?
Raqib
sentiasa husnuzzon dengan sahabat-sahabatnya. Dia tawaduk, menadah
tangan mengharapkan rahmat Allah. Hari-hari yang dilalui penuh dengan
muhasabah.
“Ya Allah,
sesungguhnya hambaMu ini merendahkan diri serendah-rendahnya dihadapanMu. Aku
memohon keampunan dariMu. Aku hamba yang banyak melakukan dosa. Jauh sekali
untuk menjadi sempurna, bahkan untuk mengharapkan balasan syurgaMu. Aku
seringkali tewas dengan hawa nafsu, namun aku juga sentiasa bersyukur kepadaMu kerana
Kau masih memberikan aku sinar harapan, peluang untuk sentiasa beribadah
kepadaMu. Semuanya atas keizinanmu, ya Allah. Aku bukanlah seorang yang banyak
ilmu, tetapi setitis kesedaran yang diberikan Kau takkan ku persia-siakan.”
“Bimbinglah
sahabat-sahabatku. Semoga mereka sentiasa bermujahadah, meniti hari-hari yang
mendatang. Aku tidak mampu untuk berada bersama-sama mereka selama-lamanya,
untuk saling memperingati antara satu sama lain. Hanya Kaulah tempat aku
berharap, agar Kau sentiasa bersama-sama sahabatku. Berikanlah kekuatan untuk
mereka istiqamah, dalam usaha menjadi hambaMu yang bertaqwa”. Panjang
munajatnya memohon kepada Allah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar